Nuffnang Ads

Wednesday, 2 May 2018

PERLAKSANAAN SISTEM PERCUKAIAN DI ZAMAN KERAJAAN BANI ABBASIYAH

Pendahuluan

Pada zaman Khalifah Abbasiyah, wujud dua buah diwan (jabatan) utama iaitu Diwan al-Jund (Jabatan ketenteraan) dan Diwan al- Kharaj (Jabatan Percukaian). Selain itu, wujud juga pelbagai diwan lain seperti Diwan al-Rasa’il, al-Khatam, al-Barid, al-Azimmah, as-Sawafi, al-Sirrdan lain-lain.

Setiap diwan diketuai seorang pegawai tadbir yang bertanggung jawab menjalankan urusan tertentu mengikut keperluan negara.

Pelaksanaan cukai pada zaman kerajaan Abbasiyah meliputi sumber utama iaitu kharaj, jizyah dan usyur. Kharaj merupakan cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam terhadap pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam. Jizyah adalah cukai perlindungan yang dikenakan terhadap golongan bukan Islam (zimmi) sebagai balasan kepada jaminan perlindungan daripada negara Islam ke atas nyawa, harta dan amalan agama mereka. Usyur merupakan cukai perniagaan yang dikenakan kepada semua peniaga Islam dan bukan Islam apabila mereka menjalankan perniagaan dalam negara Islam.

Pelaksanaan sistem percukaian zaman Khalifah Abbasiyah adalah dengan

1.    Penubuhan Diwan al-Kharaj

Diwan al-Kharaj merupakan Jabatan Percukaian Negara yang mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran cukai tanah yang mengeluarkan hasil pertanian.

Jabatan ini diketuai oleh seorang pegawai yang berkuasa melantik wakil-wakil pemungut cukai dan menentukan jumlah cukai mengikut keadaan dan kawasan tertentu. Pegawai ini juga bertanggung jawab memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan pelaksanaan kutipan cukai berkenaan.

Penubuhan jabatan ini bertepatan dengan situasi semasa memandangkan sektor pertanian merupakan bidang yang diceburi oleh majoriti penduduk. Hasil pungutan kharaj yang diperolehi begitu besar dan dianggap penyumbang utama baitumal negara.
Dengan kata lain, sektor pertanian menjadi nadi jentera pentadbiran kerajaan Abbasiyah. Pada zaman khalifah al-Mahdi, beliau menubuhkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengawal selia akaun setiap jabatan khasnya mengenai hasil pungutan dan perbelanjaannya.

Pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid, beliau telah mengarahkan Abu Yusuf bin Yaaqub. Qadhi Besar Baghdad supaya menyusun segala peraturan mengenai pecukaian untuk dijadikan panduan dalam pentadbiran negara.

Abu Yusuf berjaya menghasilkan Kitab al-Kharaj yang menjelaskan secara terperinci berkenaan peraturan-peraturan yang berkaitan percukaian termasuk kadar-kadar yang harus dibayar oleh individu terbabit. Kitab ini dihasilkan agar para amil yang bertugas memungut cukai dapat memahami kaedah percukaian dengan cara lebih jelas dan menghindarkan unsure penindasan.

2.    Pelaksanaan Kharaj

Kadar kharaj yang dikenakan tidak sama antara kawasan.

Faktor yang menentukan kadar kharaj termasuk lokasi kawasan, kualiti tanah, penggunaan alat siraman dan kualiti benih tanaman. Lazimnya, minima 10 dirham dikenakan bagi setiap unit tanah pertanian.

Bayaran kharaj dibayar dalam bentuk mata wang dan 6 harta benda yang bernilai seperti haiwan ternakan dan hasil tanaman.

Syarat-syarat tanah yang dikenakan kharaj antaranya pemilik tanah merupakan penduduk zimmi, tanah kediaman yang dijadikan kawasan pertanian, tanah kharaj yang disewakan atau dipajak (kharaj yang dikenakan ke atas pemilik tanah bukan penyewa) dan pengecualian kharaj jika hasil pertanian musnah akibat bencana alam.

Pada zaman Khalifah al-Mahdi, beliau memperkenalkan sistem percukaian Muqasamah iaitu cukai dikenakan ke atas sebahagian daripada hasil keluaran pertanian.

Kharaj juga merupakan salah satu sumber terpenting baitumal berikutan kemajuan pesat dalam bidang pertanian dan pembangunan negara.

Pada zaman khalifah al-Makmun, cukai kharaj yang dipungut di wilayah Iraq berjumlah 27.8 juta dirham manakala di wilayah Khurasan sebanyak 28 juta dirham.

3.    Pelaksanaan Jizyah

Khalifah Abbasiyah telah mengembalikan sistem pungutan jizyah seperti mana zaman khulafa al-Rasyidin di mana kadar tahunan jizyah ialah 48 dirham ke atas golongan kaya, 24 dirham ke atas golongan pertengahan dan 12 dirham ke atas golongan miskin yang mampu menyara hidup mereka.

Pelaksanaan pungutan cukai jizyah dipantau oleh gabenor-gabenor wilayah yang diantik oleh khalifah.

Golongan yang dikecualikan jizyah termasuk orang perempuan, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, golongan cacat dan lemah hamba dan golongan sakit berpanjangan.

Pada zaman kerajaan Abbasiyah, tiada diskriminasi dalam pelaksanaan jizyah, berbeza dengan zaman Umayyah dimana orang Islam bukan Arab (Mawali) turut dikenakan jizyah. Situasi ini mungkin disebabkan pada zaman Abbasiyah yang menguasai pentadbiran adalah bangsa Parsi dan Turki. Hasil pungutan jizyah disimpan di bawah baitulmal.

4.    Pelaksanaan Usyur

Kadar usyur berbeza terhadap jenis pedagang dan berdasarkan nilai dagangan. Cukai 2.5% dikenakan ke atas peniaga Islam, 5.0% ke atas peniaga kafir harbi. Jumlah usyur yang dikenakan adalah 200 dirham apabila cukup kadar nisabnya.

Zaman Abbasiyah mencapai kemajuan ekonomi yang pesat dalam sektor perdagangan, perindustrian dan pertanian. Baghdad muncul antara pusat pedagangan tersibuk di dunia. Pelabuhan utama terletak di Baghdad, Basrah, Kaherah dan lain-lain.

Kapal-kapal membawa barang dagangan melebihi sejuta dirham. Antara barang dagangan utama termasuk sutera, kasturi, rempah-ratus, batu permata dan lain-lain. Oleh itu, usyur menjadi cukai penting yang dikenakan ke atas barang para pedagang.

Bermula zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, kerajaan Abbasiyah telah menggenakan cukai perniagaan di pasar dan kedai-kedai di sekitar kota Baghdad dan wilayah kekuasaan Islam yang lain. Usyur digunakan untuk pembangunan negara seperti menyediakan kemudahan tempat-tempat perniagaan dan sebagainya.


Kesimpulan

Pelaksanaan sistem cukai yang sistematik dan terancang telah menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan kerajaan Abbasiyah. Sumber cukai yang stabil dan banyak menyebabkan kerajaan Abbasiyah mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan oleh rakyat. 



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.